Categories
Berita Semasa

Pegawai Hamas: Rancangan Trump menggugat masa depan Palestin

Jumaat, 03/10/2025 – Abdul Rahman Shadid, pegawai kanan Hamas, berkata yang rancangan Presiden AS Donald Trump tidak semata-mata menyasarkan Hamas, malah menyasarkan seluruh rakyat Palestin, Kumpulan-kumpulan, hak dan prinsip, identiti politik mereka, dan masa depan Palestin.

Dalam satu kenyataan akhbar pada Rabu, Shadid menekankan yang respon kepada rancangan ini yang berbahaya terhadap isu Palestin, merupakan respon kebangsaan.

Beliau menambah yang respon terakhir akan dikeluarkan setelah rundingan berterusan dengan pelbagai Kumpulan di Palestin.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Anjing Liar Makan Mayat Para Syuhada di Gaza

Khamis, 02/10/2025 – Pasukan pertahanan awam dan ambulan di Gaza sedang berdepan cabaran yang amat besar dalam usaha mengeluarkan mayat para syuhada dan membantu yang cedera, berikutan tindakan berterusan tentera Israel yang menyekat akses ke zon konflik, menurut pegawai pertahanan awam.

Fares Afaneh, Pengarah Perkhidmatan Kecemasan dan Ambulan di Bandar Gaza dan kawasan utara, berkata pada Isnin bahawa puluhan mayat masih berselerakan di jalan-jalan di kawasan seperti Al-Sabra, Tel Al-Hawa, Al-Shati, dan Sheikh Radwan. Beliau memaklumkan bahawa tentera Israel secara aktif menghalang pasukan penyelamat daripada mendekati, serta menembak peluru hidup dan melancarkan bom ke arah sesiapa yang cuba membantu.

Afaneh turut melaporkan bahawa ramai individu masih terperangkap di bawah runtuhan rumah yang musnah, namun pasukan pertahanan awam tidak dapat sampai ke lokasi tersebut. Akibatnya, ramai mangsa yang cedera meninggal dunia di tempat kejadian tanpa sebarang bantuan.

Penterjemah : Norshuhada Samudin

Categories
Berita Semasa

Al-Nunu: Kami belum menerima cadangan AS

Khamis, 02/10/2025 – Pegawai Kanan Hamas Taher an-Nunu menafikan yang Gerakan itu telah menerima Salinan Cadangan AS untuk menamatkan perang di Gaza.

Dalam kenyataan akhbar pada petang Isnin, Al-Nunu berkata, “Hamas tidak terlibat dalam rundingan berkaitan rancangan terkini AS.”

Beliau menjelaskan yang pembebasan tahanan Israel yang ditahan oleh pejuang Palestin berkait rapat dengan penamatan perang dan pengunduran rejim zionis dari Gaza. Beliau menekankan yang senjata pejuang tertakluk kepada penubuhan negara Palestin.

Penterjemah : Nuridawati


Categories
Berita Semasa

Kematian dan kecederaan di kalangan tentera Rejim Zionis meningkat.

Rabu, 01/10/2025 – Dua askar Israel terbunuh dan lebih 11 lagi cedera petang Isnin dalam operasi penentangan Palestin di Bandar Gaza, yang memusnahkan beberapa kenderaan tentera Israel. Media Israel menyifatkan insiden itu sebagai “sangat sukar.

Platform peneroka di media sosial melaporkan bahawa serangan hendap kompleks menyasarkan tentera Israel di Gaza, mengakibatkan kematian dan kecederaan. Serangan hendap itu termasuk meletupkan kereta kebal, menyasarkan jentolak D9, dan meletupkan alat letupan oleh pasukan penyelamat apabila tiba di lokasi serangan hendap awal.

Platform peneroka menyifatkan insiden itu sebagai “pembunuhan beramai-ramai kenderaan,” menjelaskan bahawa penentangan menyasarkan dua kenderaan berperisai Namer, kereta kebal Merkava, dan dua jentolak tentera D9. Mereka mengesahkan bahawa “semua mereka terkena peluru berpandu anti kereta kebal yang ditembak oleh penentangan.”

Sumber tempatan melaporkan pertempuran berterusan antara kumpulan penentang Palestin dan pasukan pendudukan Israel di utara kejiranan Al-Nasr di Bandar Gaza, berikutan serangan hendap awal. Mereka berkata, “Kawasan itu menyaksikan tembakan berterusan dari helikopter Israel dan kejatuhan bom asap.”

Sejak 7 Oktober 2023, puak penentang Palestin telah meneruskan perjuangan mereka untuk mempertahankan rakyat Palestin dan tempat suci mereka, dan untuk menangkis pencerobohan tentera dan pembunuhan beramai-ramai di Semenanjung Gaza.

Awal hari ini, Isnin, Briged Al-Qassam, Briged Al-Quds, dan Briged Abu Ali Mustafa mengumumkan beberapa siri operasi yang menyasarkan tapak dan pasukan tentera Israel di seluruh Semenanjung Gaza, khususnya Bandar Gaza.

Penterjemah : Juhari

Categories
Berita Semasa

Serangan dron pada GSF mengerakkan tentera laut Sepanyol dan Itali mengiringi GSF.

Rabu, 01/10/2025 – Flotilla Sumud Global (GSF) memberi amaran pada hari Khamis mengenai serangan Israel yang akan berlaku ke atas armada bantuan awamnya yang menuju ke Gaza, hanya sehari selepas beberapa kapalnya menjadi sasaran serangan dron di pantai Greece.

Menurut penganjur, dron terbang secara intensif di atas kapal terbesar armada dan menjatuhkan objek tidak dikenali, mengganggu komunikasi dan menyebabkan letupan berhampiran sekurang-kurangnya 10 kapal. Beberapa kapal mengalami kerosakan kecil. Aktivis menuduh Israel melakukan serangan itu.

GSF, dengan hampir 50 bot awam yang membawa bekalan kemanusiaan, termasuk bantuan perubatan yang sangat diperlukan, telah belayar ke arah Gaza menentang sekatan Israel. Misi itu termasuk peguam antarabangsa, doktor, dan aktivis, antaranya aktivis iklim Sweden Greta Thunberg, yang berkata semasa persidangan Instagram secara langsung, “Israel cuba menakut-nakutkan dan membungkam mereka yang bergerak dalam solidariti dengan Palestin.”

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Serangan Zionis Gegar Sana’a, Yaman.

Rabu, 01/10/2025 – Tentera Zionis menyerang pada petang Khamis yang didakwa sebagai sasaran ketenteraan dan keselamatan di ibu kota Yaman, Sana’a, sehari selepas dron yang dilancarkan oleh tentera Yaman mencederakan 22 orang di bandar Eilat, selatan Israel.

Beberapa letupan besar menggegarkan bandar Sana’a yang padat dengan penduduk, tetapi tiada laporan segera mengenai kematian muncul berikutan pencerobohan Zionis.

Dalam satu kenyataan, menteri perang Zionis Israel Katz mendakwa bahawa serangan kuat menyasarkan banyak tapak milik kumpulan Houthi di Sana’a, menyifatkan serangan itu sebagai “Operasi Hantar Bungkusan.”

“Serangan itu dilakukan berikutan serangan yang dilancarkan oleh rejim Houthi terhadap Negara Zionis, di mana dron dan peluru berpandu darat ke darat ditembak ke arah wilayah Israel,” kata tentera Zionis dalam satu kenyataan berasingan.

Lebih 22 warga Zionis cedera, termasuk dua parah, apabila dron berani mati yang dilancarkan oleh tentera Yaman meletup berhampiran pusat beli-belah utama bersebelahan laluan laluan utama Eilat pada petang Rabu.

Tentera udara Zionis dilaporkan membuka penyiasatan selepas dua peluru berpandu pemintas Iron Dome nampaknya gagal menjatuhkan dron itu.

Angkatan bersenjata Yaman di kawasan utara negara itu telah menembak peluru berpandu dan dron di tapak Israel sejak November 2023, mengatakan operasi mereka dijalankan untuk menyokong rakyat Palestin di Gaza, yang menghadapi perang genosida yang kejam.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

GMO: Tiada tempat kosong atau selamat bagi penduduk yang dipindahkan secara paksa daripada Gaza City

Rabu, 01/10/2025 – Pejabat Media Kerajaan (GMO) Gaza berkata bahawa ratusan ribu rakyat Palestin di seluruh  Gaza sekarang dipindahkan semula secara paksa oleh Israel, dan daerah tengah dan selatan Gaza, khususnya kawasan al-Mawasi, tidak mempunyai ruang untuk lebih ramai orang.

“Tiada lagi ruang kosong atau selamat untuk menerima penambahan perpindahan yang lebih ramai,” kata GMO dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa khemah penempatan sementara yang dibuka di kaki lima jalan tidak mampu memberikan keselamatan yang baik  “disamping  tidak dapat memenuhi keperluan minima untuk kehidupan manusiawi  yang bermaruah.”

GMO berkata tentera pendudukan Israel terus menghalang khemah yang disumbang oleh masyarakat antarabangsa daripada masuk ke dalam Gaza, manakala baki yang masih ada dijual di pasar pula harganya amat mahal, menyebabkan ramai terpaksa meneruskan kehidupan tanpa sebarang perlindungan daripada hambatan cuaca buruk. Ini adalah hasil daripada “dasar sistematik” pihak Israel yang disokong oleh pentadbiran US, tambahnya. GMO menyeru masyarakat antarabangsa bertindak untuk segera menyediakan perlindungan bagi penduduk Gaza yang terus ditekan dan dizalimi rejim pendudukan.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

GSF mendekati Yunani ketika aktivis menentang ancaman Israel untuk membatalkan percubaan mereka untuk memecahkan sekatan Gaza


Jumaat, 26/09/2025 – Flotila Global Sumud (GSF) yang belayar untuk memecah sekatan Israel ke atas Gaza sedang menghampiri perairan wilayah Yunani berhampiran Crete dan mereka menganggarkan flotila akan tiba di Gaza dalam tempoh enam hari lagi.

GSF, yang terdiri daripada berpuluh-puluh bot dan kapal yang membawa aktivis dari hampir 50 negara merupakan usaha maritim awam terbesar setakat ini untuk mencabar pengepungan Israel selama 18 tahun ke atas Gaza, di mana kebuluran telah meragut nyawa sekurang-kurangnya 442 rakyat Palestin.

Penganjur melaporkan dron yang tidak dikenal pasti berlegar di atas beberapa kapal selama tiga malam berturut-turut merupakan satu perkembangan yang mereka kecam sebagai cubaan untuk menakut-nakutkan dan memburukkan nama misi tersebut.

Mereka juga mengingatkan kembali insiden awal yang berlaku di Tunisia, di mana dua buah kapal flotila terkena serangan dron Israel di pelabuhan Sidi Bou Said. Israel sehingga sekarang tidak memberi respon mengenai serangan itu.

Ahli parlimen Perancis François Piquemal, yang menyertai flotila itu, menuduh Israel akan mencemarkan nama sesiapa sahaja yang bersuara menentang apa yang disifatkannya sebagai pembunuhan beramai-ramai di Gaza secara sistematik. “Ini adalah inisiatif masyarakat madani dan kemanusiaan,” katanya kepada Anadolu Agency, sambil menegaskan bahawa peserta termasuk doktor, pekerja bantuan, ahli politik, wartawan, dan artis.

“Tuduhan seperti ini adalah taktik biasa sesebuah negara yang melakukan pembunuhan genosid,” kata Piquemal. Pope Francis baru-baru ini juga dituduh sebagai anti-Semit katanya lagi. Retorik sedemikian hanya bertujuan untuk mengalihkan perhatian daripada realiti keganasan sebenar.

Beliau menekankan bahawa misi itu digerakkan di atas tujuan kemanusiaan, bukan politik. Peserta flotila ini enggan berpeluk tubuh berdiam diri dan hanya melihat Gaza terus kebuluran. Mereka bertindak kerana menganggap masyarakat antarabangsa telah gagal melaksanakan tanggungjawab.

Penganjur menekankan bahawa usaha gerakan sivil dan aman mereka mematuhi semua undang-undang antarabangsa dan usaha menghantar bantuan melalui laut ke Gaza adalah hak yang diberikan perlindungan undang-undang. Mereka mengecam ancaman Israel terhadap flotila dan menyifatkannya sebagai cubaan haram untuk mengekalkan sekatan bantuan yang telah menyebabkan 2.4 juta rakyat Palestin berada di dalam tragedi kebuluran.

Sejak tarikh 2 Mac tahun ini, Israel telah menutup semua lintasan sempadan di Gaza dan menghalang trak makanan dan bantuan. Ia hanya membenarkan bantuan yang sangat terhad yang gagal memenuhi keperluan minimum untuk terus hidup. Pada waktu yang sama banyak trak juga telah ditahan dan dirompak oleh kumpulan yang dilindungi oleh tentera Israel.

Dengan sokongan daripada US, pembunuhan genosid Israel di Gaza telah membunuh lebih 65,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 166,000 sejak 7 Oktober 2023.

Penterjemah : Hj Fariz

Categories
Berita Semasa

Serangan Pendatang Di Ramallah: Warga Palestin Terbunuh Dan Lima Lagi Cedera

Jumaat, 26/09/2025 – Kementerian Kesihatan Palestin mengumumkan pada Selasa malam bahawa Saeed Murad Naasan, 20 tahun, terbunuh selepas ditembak oleh pendatang Yahudi di kampung Al-Mughayyir, timur laut Ramallah.

Sumber tempatan melaporkan sekurang-kurangnya lima orang awam Palestin cedera, seorang daripadanya parah, dalam serangan oleh pendatang Yahudi bersama pasukan tentera Israel di kampung tersebut.

Ameen Abu Alia, ketua majlis kampung Al-Mughayyir, berkata pendatang dengan perlindungan tentera Israel telah menyerang sebuah taman awam di bahagian tenggara kampung dan melepaskan tembakan ke arah orang awam. Lima orang cedera, seorang daripadanya terkena tembakan di bahagian dada dan disahkan meninggal dunia kemudian.

Penterjemah : Ezatul

Categories
Berita Semasa

Israel Lancar Siri Serangan Udara di Selatan Lubnan

Rabu, 24/09/2025 – Israel melancarkan siri serangan udara yang menyasarkan pekan Meiss El Jabal di daerah Marjayoun, selatan Lubnan, sejam selepas mengeluarkan amaran pemindahan kepada penduduk tempatan.

Menurut sumber, jet pejuang Israel menyerang sebuah rumah kediaman di Meiss El Jabal dan turut mengebom pekan Debbin di selatan Lubnan.

Tentera Israel mengesahkan bahawa mereka telah memulakan siri serangan baharu ke atas sasaran yang didakwa sebagai tapak ketenteraan Hezbollah di Lubnan. Pada waktu malam, tentera Israel turut mengeluarkan arahan pemindahan terkini melibatkan pekan Al-Shuhabiya dan Bourj Qalaouiyeh di selatan.

Penterjemah : Neina

Categories
Berita Semasa

Hamas: Operasi Karama meluaskan lingkungan perjuangan menentang penjajahan fasis Israel

Rabu, 24/09/2025 – Gerakan Hamas berkata operasi Karama menghantar mesej yang jelas: polisi genosid rejim zionis di Gaza, penjajahan di Tebing Barat, dan keganasan yang semakin meningkat di wilayah Arab tidak akan dibiarkan.

Dalam satu kenyataan akhbar, Hamas menjelaskan yang operasi itu meluaskan lingkungan perjuangan menentang penjajahan fasis rejim zionis di Palestin dan wilayah Arab.

Hamas menyifatkan operasi itu sebagai terjemahan kemarahan yang dirasakan oleh bangsa Arab dan Muslim, terutamanya rakyat Jordan dan hero mereka yang berani, terhadap pembunuhan beramai-ramai dan jenayah oleh rejim ke atas rakyat Palestin, dan wilayah Arab secara amnya.

Penterjemah : Nuridawati

Categories
Berita Semasa

Pegawai Hamas mendedahkan butiran percubaan pembunuhan Israel di Doha

Rabu, 24/09/2025 – Ghazi Hamad, ahli Biro Politik Hamas, mendedahkan cubaan oleh pihak Zionist Israel untuk membunuh delegasi Hamas di ibu negara Qatar, Doha, minggu lalu semasa mereka menyemak cadangan AS dengan penasihat mereka.

Menurut Hamad, serangan itu berlaku tidak sampai sejam selepas mesyuarat bermula. Ketika delegasi mendengar bunyi peluru berpandu, ternyata mereka menjadi sasaran percubaan pembunuhan, dalam satu temu bual dengan Al Jazeera.

Hamad menyatakan bahawa delegasi, yang berpengalaman dengan serangan udara Israel, segera mengosongkan kawasan itu, yang terkena kira-kira 12 peluru berpandu dalam masa kurang seminit. Beliau menyifatkan keadaan itu amat berbahaya dan mengesahkan pemimpin yang disasarkan berjaya menyelamatkan diri.

Penterjemah : Hairul

Categories
Berita Semasa

Wartawan Palestin, Mohammad Al-Sawalhi Terbunuh Dalam Serangan Israel di Barat Gaza

Jumaat, 19/09/2025 – Wartawan, Mohammad Al-Sawalhi terbunuh pada petang Rabu lalu berikutan serangan udara Israel berhampiran Kompleks Perubatan Al-Shifa di barat Bandar Gaza.

Pesawat perang Israel telah menyasarkan orang awam ketika mereka melarikan diri dari Kota Gaza menuju ke bahagian selatan Semenanjung, khususnya di sekitar Kompleks Perubatan Al-Shifa. Serangan itu mengakibatkan lebih 10 orang awam terbunuh dan beberapa lagi cedera.

Dengan kematian wartawan Al-Sawalhi, jumlah wartawan yang terbunuh sejak permulaan serangan Israel ke atas Gaza telah meningkat kepada 250. Ini mencerminkan corak sasaran langsung kakitangan media Palestin di tengah-tengah ketidakpedulian antarabangsa mengenai jenayah Israel yang sedang berlaku.

Penterjemah : Dr Nurul

Categories
Berita Semasa

Hamas: Zionis Serang Orang Awam Sekitar Al-Shifa 

Jumaat, 19/09/2025 – Pergerakan Hamas menyatakan bahawa serangan udara yang dilakukan oleh Zionis petang ini, yang menyasarkan orang awam berhampiran Hospital Al-Shifa ketika mereka berpindah dari Kota Gaza dan mengakibatkan kematian sekurang-kurangnya 15 orang, merupakan “jenayah perang penuh”

Dalam siaran akhbar yang dikeluarkan pada petang Rabu, Hamas berkata pembunuhan beramai-ramai ini “mendedahkan kebiadaban entiti Israel, yang memburu orang awam walaupun sedang berpindah,” menyifatkan ia sebagai sebahagian daripada “dasar sistematik pembunuhan beramai-ramai yang dijalankan terhadap rakyat Palestin selama hampir dua tahun dalam pandangan penuh dunia.”

Hamas menyatakan bahawa “pembunuhan beramai-ramai ini, bersama-sama dengan jenayah harian yang dilakukan di pelbagai bahagian di Semenanjung Gaza, berlaku kurang daripada 24 jam selepas laporan PBB mendokumentasikan tindakan Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin.” Pergerakan itu menyifatkan serangan itu sebagai “cabaran terang-terangan dan penghinaan yang mendalam terhadap masyarakat antarabangsa, dan pelanggaran berat terhadap undang-undang dan perjanjian antarabangsa.”

Hamas menyeru negara-negara Arab dan Islam, serta masyarakat antarabangsa yang lebih luas, untuk “bertindak segera dan serius untuk menghentikan jenayah ini,” dan menuntut agar pemimpin pendudukan bertanggungjawab di hadapan Mahkamah Jenayah Antarabangsa untuk memastikan mereka tidak terlepas daripada keadilan.

Pada awal petang, tentera Zionis melakukan pembunuhan beramai-ramai yang mengerikan terhadap sebuah keluarga yang dipindahkan di pintu masuk Kompleks Perubatan Al-Shifa di Bandar Gaza, membunuh sekurang-kurangnya 13 orang dan mencederakan yang lain.

Sumber tempatan mengesahkan bahawa pesawat pejuang Zionis menyasarkan kenderaan awam yang membawa ahli keluarga ketika mereka cuba melarikan diri ke selatan, yang membawa kepada pembunuhan beberapa individu.

Penterjemah : Ameen

Categories
Berita Semasa

GAZA: Usaha WHO menghantar bekalan bahan api ke hospital-hospital di Gaza dihalang tentera Israel

Jumaat, 19/09/2025 – Kementerian Kesihatan Palestin telah menuduh tentera pendudukan Israel dengan sengaja menghalang usaha Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk membekalkan bahan api untuk hospital di Gaza.

“Pihak berkuasa pendudukan menyekat penghantaran bekalan bahan api yang diperlukan untuk mengendalikan penjana elektrik di hospital Gaza dan ini akan menghentikan perkhidmatan kesihatan sepenuhnya,” kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan pada hari Rabu.

Kementerian memberi amaran bahawa krisis bahan api yang berterusan mengancam untuk menghentikan perkhidmatan perubatan di hospital, termasuk Hospital Al-Sahaba dan Hospital Bantuan Awam, sambil menyatakan bahawa ambulans dan stesen bekalan oksigen pusat dijangka berhenti operasi dalam masa beberapa hari lagi.

Ia merayu kepada semua pihak yang berkenaan untuk campur tangan segera dan memastikan penghantaran bahan api selamat yang diperlukan untuk operasi hospital di Gaza.

Penterjemah : Hj Fariz